Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Vietnam selangkah untuk merampas semula kejuaraan Piala ASEAN 2024 apabila menundukkan juara bertahan Thailand 2-1 pada aksi final pertama di Stadium Wilayah Phu Tho malam tadi. Foto AFP

Piala ASEAN: Vietnam selangkah rampas semula kejuaraan tundukkan Thailand 2-1

ByBernama

KUALA LUMPUR, 3 Jan: Vietnam selangkah untuk merampas semula kejuaraan Piala ASEAN 2024 apabila menundukkan juara bertahan Thailand 2-1 pada aksi final pertama di Stadium Wilayah Phu Tho malam tadi.

Bintang Vietnam Rafaelson Fernandes sekali lagi muncul wira tuan rumah apabila meledak jaringan berganda masing-masing pada babak kedua perlawanan.

Babak pertama menyaksikan Vietnam seakan memberi amaran dengan melakukan beberapa percubaan termasuk rembatan Fernandes pada minit kesembilan namun tersasar ke sebelah kanan pintu gol.

Skuad Thailand di bawah kendalian Masatada Ishii hampir membolosi gawang tuan rumah pada minit ke-22 menerusi Ekanit Panya namun dinafikan penjaga gol Nguyen Trieu sebelum Patrik Gustavsson hampir melakukan penyudah pada minit ke-37 bagaimanapun tersasar ke atas palang gol.

Sementara itu, pasukan kendalian Kim Sang Sik, Vietnam melancar serangan apabila hampir memecah kebuntuan menerusi Fernandes selepas menerima hantaran Pham Manh tetapi gagal menghasilkan penyudah pada minit kecederaan sekali gus kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga babak pertama tamat.

Memasuki babak kedua, pasukan tuan rumah akhirnya membuka jaringan dengan dua gol hasil penyudah bintang kacukan Vietnam-Brazil Fernandes atau nama Vietnamnya Nguyen Xuan Son, masing-masing pada minit ke-59 dan 73 sekali gus meletakkan skuad Golden Dragon di hadapan dengan kedudukan 2-0.

Jaringan itu nyata tidak mematahkan semangat pasukan pelawat untuk merapatkan kedudukan apabila pemain pertahanan Chalermsak Aukkee menanduk bola ke dalam gawang selepas menerima hantaran Suphanat Mueanta pada minit-83.

Keputusan kekal 2-1 sehingga wisel penamat meskipun diberikan enam minit masa tambahan.

Thailand bakal menerima kunjungan Vietnam bagi aksi final kedua pada Ahad di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Untuk rekod, Thailand ialah juara bertahan bagi dua tahun berturut-turut iaitu pada edisi 2020 dan 2022 manakala Vietnam pemenang bagi tahun 2018. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan