KUCHING, 3 Jan: Dua individu cemas selepas kereta yang mereka naiki tiba-tiba terbakar di Kampung Tabuan Melayu malam tadi.
Bagaimanapun, dua mangsa yang berusia 20 dan 25 tahun berjaya menyelamatkan diri.
Komander Operasi, Pandi Seh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 8.43 malam dengan menggerakkan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Saga FLX yang terbakar keseluruhan di bahagian enjin.
“Pihak bomba terus menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula sumber air dari jentera untuk memadam kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kerja overhaul dijalankan untuk memastikan tiada lagi punca api dan kebakaran padam sepenuhnya.
Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.- TVS