MIRI, 3 Jan: Racha Dana yang berusia 47 tahun bersyukur dengan bantuan diterima daripada Yayasan Sarawak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak selepas kehilangan rumah akibat kebakaran tahun lepas.
Dia yang merupakan ibu kepada atlet Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024, Cristal Vencent Bonny berkata, bantuan yang diterima membolehkan mereka sekeluarga membina rumah baharu.
“Walaupun kecil, saya bersyukur kerana rumah ini menjadi tempat berteduh kami enam sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Tudan Desaras Miri hari ini.
Menurutnya, bantuan tersebut akan digunakan untuk membeli kayu bagi membina rumah baharu.
“Kami juga perlu memikirkan kos penyambungan elektrik dan air,” ujarnya.
Mengimbau kembali kejadian kebakaran yang meranapkan rumahnya, Racha berkata, kebakaran yang berlaku pada 10 September tahun lepas bermula ketika anaknya sedang memasak air panas.
“Saya dan seorang anak keluar pergi ke sekolah, tiba-tiba mendapat panggilan daripada teman yang memaklumkan rumah saya terbakar,” jelasnya.
Sementara itu, Cristal yang berusia 21 tahun berkata, ketika kejadian berlaku, dia sedang mengikuti latihan intensif untuk Para SUKMA.
“Saya mengetahui mengenai kebakaran rumah selepas menerima panggilan daripada jiran,” kata Cristal.
Walaupun dalam keadaan sedih, Cristal menduduki tempat kelima dalam acara angkat berat dan ia merupakan kejayaan membanggakan.-TVS