BINTULU: 3 Jan: Gelanggang sepak takraw baharu di Rumah Lampoh Dana menjadi simbol perpaduan komuniti dan platform untuk mempromosikan gaya hidup sihat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, ia bukan sekadar kemudahan untuk peminat sukan sepak takraw tetapi ruang penyatuan penduduk pelbagai latar belakang untuk berkumpul dan mengeratkan hubungan.
“Gelanggang ini lebih daripada sekadar tempat bermain sukan. Ia melambangkan semangat kesukanan dan perpaduan, memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat
“Saya percaya gelanggang ini akan mengukuhkan lagi hubungan komuniti,” katanya ketika merasmikan gelanggang itu.
Menurut Iskandar, pembinaan gelanggang itu hasil permintaan komuniti Rumah Lampoh Dana yang ingin mempunyai ruang untuk memupuk hubungan silaturahim dan menggalakkan persaingan sihat.
“Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang bekerja keras menjayakan projek ini terutama komuniti Rumah Lampoh Dana atas sokongan dan kerjasama mereka yang tidak berbelah bahagi,” ujarnya.
Gelanggang baharu ini bukan sahaja menggalakkan aktiviti sukan dan gaya hidup aktif tetapi menjadi pemangkin kepada hubungan harmoni dalam kalangan penduduk setempat.-TVS