MIRI, 3 Jan: Masalah pembuangan sampah secara tidak terkawal terus menjadi isu hangat dalam kalangan masyarakat di bandar raya ini.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii berkata, beliau bimbang melihat sikap segelintir penduduk yang tidak bertanggungjawab dalam menguruskan sisa domestik.
“Kami sering membersihkan kawasan terjejas tetapi masalah ini terus berulang jika masyarakat membuang sampah secara sembarangan.
“Semua pihak perlu memainkan peranan dengan membungkus sampah dengan rapi sebelum dihantar ke tapak pelupusan sesuai,” katanya semasa sesi bertemu rakyat anjuran Majlis Bandaraya Miri (MBM) di UTC Miri pagi tadi.
Menurutnya, MBM kerap menerima aduan mengenai bau busuk dari tong sampah besar yang terletak berhampiran kawasan kedai.
Adam berkata, penduduk setempat mencadangkan supaya tong tersebut dipindahkan ke lokasi lain yang lebih sesuai.
“Jika sampah tidak dibungkus dengan baik, ia bukan sahaja mencemarkan persekitaran tetapi juga menarik perhatian haiwan liar seperti anjing dan kucing,” ujarnya.
Sementara itu menurutnya, masyarakat juga perlu menguruskan sisa taman seperti dahan pokok dan bahan binaan dengan betul.
“Orang ramai boleh menghubungi MBM di talian 085-424-111 untuk mendapatkan perkhidmatan pelupusan sisa taman dan bahan binaan dengan sedikit bayaran. Langkah ini penting untuk memastikan sampah tidak dibuang di tepi jalan atau di kawasan awam.
“Jika seseorang didapati membuang sampah di tempat awam, kami akan mengenakan denda. Pembuangan sampah secara haram adalah kesalahan serius dan tindakan tegas akan diambil,” jelasnya.
Selain isu pembuangan sampah, sesi itu turut membincangkan beberapa aduan lain termasuk kerosakan parit perimeter, pemangkasan pokok di sekitar kawasan perumahan serta aduan mengenai lampu jalan yang perlu diganti.-TVS