KUCHING, 3 Jan: Tahun 2025 menyaksikan tampuk pengurusan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berubah dengan Awang Putrayusrie Awang Redzuan menggalas tugas sebagai pengarah berkuat kuasa pada Khamis.
Beliau merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) yang juga Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) menggantikan Samuel Simon yang menyandang jawatan tersebut sebelum ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol hadir menyaksikan simbolik penyerahan tugas di Ibu Pejabat UKAS di Bangunan Baitulmakmur, semalam.
Dalam pada itu, Abdullah merakamkan penghargaan kepada Samuel atas dedikasinya sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah UKAS.
“Saya berharap Awang Putrayusrie dapat membawa pendekatan dan kepimpinan baharu bagi mengukuhkan lagi peranan UKAS.
“Sekarang, kita berada pada 2025 dan penampilan baharu ini perlu disertai dengan semangat yang baharu,” katanya.
Abdullah turut menekankan bahawa UKAS harus menjadi fleksibel dan responsif dalam menghadapi cabaran komunikasi yang sentiasa berubah.
Dengan tugas baharu itu, Awang Putrayusrie perlu menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi serta bertindak mengikut keperluan semasa.
Sementara itu, Awang Putrayusrie mengakui bahawa tugas sebagai Pengarah UKAS adalah satu amanah besar dan beliau berjanji untuk berusaha sebaik mungkin dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Terdahulu, Samuel menzahirkan penghargaannya kepada seluruh warga UKAS atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.-TVS