Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli mengesahkan tiada sekolah menengah di wilayah ini yang terjejas secara langsung akibat bencana banjir

Tiada sekolah terjejas banjir di Sarawak

KUCHING, 2 Jan: Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli mengesahkan tiada sekolah menengah di wilayah ini yang terjejas secara langsung akibat bencana banjir sepanjang berlangsungnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Beliau berkata, walaupun terdapat enam sekolah yang dikenal pasti berisiko tinggi dilanda banjir namun ia hanya melibatkan jalan terputus hubungan.

“Kawasan yang terjejas tidak berpusat di satu lokasi sahaja. Ia bergantung kepada intensiti hujan di sesuatu tempat. Contohnya di Bahagian Kuching, antara sekolah dikenal pasti berisiko tinggi banjir ialah SMK Bau dan SMK Jalan Arang yang mungkin menghadapi cabaran akibat jalan terputus

“Namun kawasan sekolah SMK Bau masih selamat untuk pelajar asrama manakala pelajar harian di sekolah tersebut akan dipindahkan ke pusat alternatif seperti SMK Lake yang terletak berdekatan.

“Untuk pelajar dari SMK Jalan Arang pula, mereka akan dipindahkan ke pusat alternatif lain sekiranya berlaku banjir iaitu ke sekolah rendah berhampiran seperti SJK Chung Hua Batu 4 ½,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan dan pemantauan pelaksanaan hari pertama peperiksaan SPM 2024 di SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor, Stampin, di sini, hari ini.

Selain itu menurutnya, terdapat beberapa sekolah di kawasan pedalaman dan wilayah tengah Sarawak turut dikenal pasti berisiko banjir.

Sementara itu beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana sepanjang peperiksaan SPM yang berlangsung dari 2 Januari hingga 6 Februari 2025.

“Antara persediaan ialah bekerjasama rapat dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia dalam melaksanakan Operasi Payung yang bertujuan memastikan setiap calon SPM dapat menduduki peperiksaan walaupun sekolah asal mereka terjejas.

“Kita sudah ada langkah persediaan termasuk pusat peperiksaan alternatif. Jika mana-mana sekolah dilanda banjir atau jalan penghubung terputus, pelajar akan dipindahkan ke pusat yang dikenal pasti. Semua calon akan tetap dapat menduduki peperiksaan SPM,” ujarnya.

Omar berharap perjalanan peperiksaan SPM di Sarawak berjalan lancar meskipun wilayah ini sedang berdepan musim Monsum Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh.

“Setakat ini, tiada laporan mengenai gangguan cuaca serius. Namun, kita tetap terus berjaga-jaga dan bersiap sedia dengan semua langkah kecemasan.

“Harapan kita agar peperiksaan kali ini dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah sehingga selesai,” ujarnya.

Di Sarawak, seramai 35, 424 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024 di sejumlah 255 pusat peperiksaan seluruh negeri.

Daripada jumlah tersebut, seramai 33,040 merupakan calon sekolah kerajaan dan juga sekolah bantuan kerajaan.

Manakala selebihnya calon di bawah agensi kerajaan selain KPM, calon swasta, persendirian dan sekolah agama rakyat.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan