KUCHING, 2 Jan: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menyambut musim perayaan Tahun Baru Cina dengan melancarkan sampul angpau edisi terhad yang menampilkan ular Bornean Palm Pit Viper iaitu spesies endemik yang hanya terdapat di Borneo seperti di Taman Negara Mulu dan Gunung Gading.
Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Datu Salleh Askor berkata, orang ramai boleh mendapatkan sampul eksklusif tersebut di Pusat Maklumat Pelancong di Kuching, Miri dan Sibu bermula 2 Januari 2025.
“Tahun ini menandakan tahun ketujuh tradisi angpau tahunan STB yang bertujuan untuk meraikan warisan budaya dan kekayaan alam semula jadi Sarawak.
“Direka khas untuk meraikan Tahun Ular Kayu, sampul angpau ini dihiasi dengan cetakan emas yang elegan dan imej Ular Bornean Palm Pit Viper, simbol ketahanan, pertumbuhan serta keunikan biodiversiti Sarawak,” kata Sharzede dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Sharzede, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen STB dalam memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap ekosistem unik Sarawak melalui pelancongan yang bertanggungjawab.
“Melalui inisiatif bermakna seperti ini, kami berharap dapat menginspirasi penduduk tempatan dan pelawat untuk meneroka serta melindungi warisan alam semula jadi Sarawak,” ujarnya.
Katanya, dengan menggabungkan tradisi budaya dan komitmen terhadap penjagaan alam sekitar, STB berusaha untuk menyeimbangkan pertumbuhan pelancongan lestari dengan pemuliharaan alam semula jadi. – TVS