RAMALLAH, 2 Jan: Pihak Berkuasa Palestin pada Rabu mengarahkan penggantungan siaran terhadap saluran berita yang berpangkalan di Qatar, Al Jazeera di seluruh wilayah Palestin dengan mendakwa rangkaian itu menyiarkan kandungan berunsur hasutan.
Jawatankuasa menteri khas yang terdiri daripada Kementerian Kebudayaan, dalam Negeri dan Komunikasi memutuskan untuk menggantung siaran serta membekukan semua aktiviti saluran satelit Al Jazeera dan pejabatnya di Palestin.
“Keputusan itu turut merangkumi pembekuan sementara kerja semua wartawan, kakitangan, kru dan saluran yang berafiliasi sehingga status undang-undang mereka diselaraskan akibat pelanggaran Al Jazeera terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa di Palestin,” tambah laporan itu.
Keputusan ini dibuat sebagai respons kepada keengganan Al Jazeera menghentikan penyiaran kandungan berunsur hasutan serta laporan yang bersifat salah maklumat, menghasut, mencetuskan perpecahan dan mencampuri urusan dalaman Palestin.
Seorang pekerja Al Jazeera yang dihubungi oleh AFP mengesahkan pejabat rangkaian itu di Ramallah menerima perintah penggantungan pada hari Rabu.
Kemudian pada hari sama, saluran itu menyiarkan imej yang menunjukkan pegawai keselamatan Palestin memasuki pejabat rangkaian di Ramallah dan menyerahkan perintah penggantungan namun Al Jazeera masih belum memberikan sebarang respons terhadap langkah pihak berkuasa Palestin tersebut.
Kumpulan pejuang Hamas mengutuk keputusan untuk melarang saluran tersebut.
“Keputusan ini sejajar dengan siri tindakan sewenang-wenangnya baru-baru ini oleh pihak berkuasa untuk menyekat hak dan kebebasan awam serta mengukuhkan cengkaman keselamatannya ke atas rakyat Palestin.
“Kami menyeru pihak berkuasa Palestin untuk segera menarik balik keputusan ini..Adalah penting untuk memastikan liputan media diteruskan bagi mendedahkan penjajahan dan menyokong keteguhan rakyat kami”, kata Hamas dalam satu kenyataan. – TVS