TANJUNG MANIS, 2 Jan: Pasukan penyelamat memperhebatkan usaha carilamat seorang lelaki warga emas yang terjatuh ke dalam laut berhampiran perairan muara Rajang walaupun berdepan cabaran laut bergelora.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, operasi meliputi kawasan sekitar 18.84 batu persegi dengan melibatkan empat sektor pencarian.
Kesemua sektor itu katanya, masing-masing dipecahkan bagi memudahkan pencarian ke atas mangsa selain memastikan keselamatan anggota penyelamat.
“Operasi kali turut melibatkan penyertaan pasukan polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya kepada media di sini, hari ini.
Menyentuh keadaan persekitaran lokasi pula, Gilbert berkata, setakat ini, ombak pada ketinggian kira-kira 1.5 meter hingga ke 2.5 meter manakala, angin bertiup dengan kelajuan 30 hingga 40 knot dari barat.
Ketika kejadian pada Rabu, kira –kira 10.30 pagi itu katanya, kapal mangsa dalam perjalanan dari Kuching menghala ke Tanjung Manis sebelum dihempas ombak setinggi 3.5 meter, menyebabkan mangsa dan rakannya terjatuh ke laut.
Ujarnya, lelaki yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun sebagai anak kapal itu, cuba diselamatkan oleh rakannya namun gagal.
“Rakan mangsa sempat berpaut di atas pondok yang jatuh dan terapung sebelum diselamatkan oleh bot tunda Danum 126,” ujarnya. -TVS