MIRI, 2 Jan: Sebanyak 412 organisasi merangkumi persatuan, badan agama dan sekolah menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang.
Beliau berkata, penerima perlu memanfaatkan geran yang diterima untuk menjalankan aktiviti yang dapat mengukuhkan keharmonian dan perpaduan masyarakat.
“Sebanyak 33 kumpulan agama, 46 kumpulan berkaitan sekolah termasuk Persatuan Guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Lembaga Sekolah bersama 333 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan organisasi lain menerima geran ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran MRP di Ibu Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pujut, Miri, hari ini.
Adam Yii menjelaskan, sebanyak 177 aktiviti dilaksanakan pelbagai lapisan masyarakat dan persatuan agamaseperti Kristian, Islam, Buddha, Taoisme dan sebagainya.
“Geran ini melibatkan 88 aktiviti berkaitan agama, 50 aktiviti pendidikan, 12 aktiviti kebajikan dan 27 aktiviti perayaan,” ujarnya. – TVS