MIRI, 2 Jan: Satu kemalangan maut berlaku di Kilometer 909 Lebuh Raya Pan Borneo pada Isnin melibatkan sebuah kenderaan Perodua Kancil dan sebuah lori.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, pemandu Perodua Kancil merupakan seorang lelaki berusia 68 tahun yang dalam perjalanan dari Bintulu ke Miri dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Kereta tersebut bertembung dengan sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 45 tahun dan mengakibatkan perlanggaran itu, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.
“Pemandu Perodua Kancil dan seorang penumpang wanita berusia 61 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya pada kenyataan hari ini.
Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS