PUTRAJAYA, 2 Jan: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyelaraskan semula pendidikan anak-anak yang diselamatkan dari rumah-rumah amal GISB Holdings (GISBH).
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata pelarasan akan dilaksana berdasarkan umur dan kesesuaian untuk mengikuti pendidikan arus perdana di sekolah-sekolah di bawah KPM.
Jelas beliau, sebahagian daripada mereka telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.
“Di peringkat KPM, kami sedang menyelaras semula (pendidikan) kerana ada anak-anak ini terus kekal di rumah selamat di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya pada sidang media khas Pengoperasian Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Putrajaya, hari ini.
Tambah Fadhlina, beberapa daripada mereka ini juga sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sebelum ini, media melaporkan Fadhlina berkata kanak-kanak yang ditemui di rumah amal tersebut telah memulakan sesi pembelajaran formal di bawah KPM sejak 1 Oktober lalu. – TVS.