KUCHING, 2 Jan: Penggunaan kamera badan oleh anggota Bahagian Penguatkuasaan serta Kesihatan Awam dan Pelesenan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) adalah langkah proaktif untuk meningkatkan akauntabiliti, integriti dan kepercayaan masyarakat terhadap pihak berkuasa tempatan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata penggunaannya adalah penting dan perlu diperluaskan kerana manfaatnya yang pelbagai termasuk menangani isu keadilan, keselamatan dan pemantauan yang lebih berkesan.
“Kamera badan ini amat penting kerana kehendak serta jangkaan orang ramai semakin tinggi. Ia akan membantu meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pihak penguatkuasaan semasa melaksanakan tugas di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kamera Badan MBKS di sini, hari ini.
Dr Sim berkata inisiatif ini juga akan membantu merekodkan data, statistik dan bukti dengan lebih tepat, sekali gus menjadi pencegah kepada salah laku.
Menurutnya, kamera badan ini boleh berfungsi sebagai mekanisme untuk memastikan pegawai dan orang ramai bertindak secara berhemah serta mengurangkan pertikaian berkaitan fakta sesuatu insiden.
Sebagai permulaan, seramai 10 anggota Bahagian Penguatkuasaan serta Kesihatan Awam dan Pelesenan MBKS akan mula menggunakan kamera badan berkuatkuasa serta-merta hari ini semasa menjalankan rondaan, penguatkuasaan dan pemeriksaan secara berkala.