DARO, 2 Jan: Keindahan cahaya lampu yang menghiasi Jambatan Batang Lassa pada waktu malam menghadirkan perasaan teruja kepada penduduk setempat untuk menggunakan kemudahan yang disediakan Kerajaan Sarawak itu.
Gambar yang dikongsikan Exco Pergerakan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Mohd Faizal Jamiludin membuktikan kejayaan besar projek mega berkenaan.
Projek pembinaan Jambatan Batang Lassa menyeberangi Batang Lassa sepanjang 2.43 kilometer merupakan jambatan kedua terpanjang menyeberangi sungai di Sarawak melibatkan kos RM600 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, projek kini siap sepenuhnya manakala majlis pra perasmian sepatutnya berlangsung pada 31 Disember lalu.
Bagaimanapun katanya, majlis terpaksa ditangguhkan kerana ketika itu SESCO masih melakukan kerja penyambungan bekalan elektrik ke jambatan berkenaan.
Menurutnya, sekarang kerja penyambungan elektrik selesai sepenuhnya dan jambatan tersebut bersedia digunakan pada bila-bila masa.
“Saya juga sudah menghubungi pihak Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) untuk mendapatkan tarikh bagi menyempurnakan pra pelancaran sebelum majlis perasmian sebenarnya yang dijadualkan pada 22 Februari 2025 oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Setakat ini, saya masih menunggu pengesahan tarikh daripada kementerian. Saya yakin dalam masa dua tiga hari lagi jambatan ini akan dibuka kepada orang ramai, setelah kerja berkaitan termasuk aspek keselamatan selesai oleh agensi yang berkaitan. Insya-Allah,” katanya.
Menurut Safiee, pelaksanaan projek itu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam meneruskan kesinambungan projek demi manfaat segenap lapisan rakyat.
“Jambatan Batang Lassa bakal membawa limpahan pembangunan sekali gus melonjakkan lagi potensi ekonomi Daro yang sinonim dengan pengeluaran hasil pertanian dan perikanan,” ujarnya.
Sementara itu salah seorang penduduk tempatan, Jelani Matusin, 65, berkata, kewujudan jambatan itu adalah sesuatu yang tidak pernah dibayangkan oleh mereka sebelum ini.
Sebelum wujudnya jalan raya katanya, pengangkutan penduduk terutama di Pulau Bruit bergantung sepenuhnya kepada sungai dan laut.
“Selepas jalan raya dibina, kerajaan sediakan jambatan pula…dan sudah pun siap, kami bakal menikmati kemudahan itu tidak lama lagi,” jelasnya. -TVS