NIBONG TEBAL, 2 Jan: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut akibat tersepit pada kaki besi meja lipat di sebuah rumah di Taman Seri Putera di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu, mangsa, Nur Aqifah Humaira Abdullah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Parit Buntar, Perak.
Difahamkan, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu selepas pihak hospital membuat laporan berhubung kematian mangsa sebelum siasatan lanjut di tempat kejadian dijalankan.
Kejadian dipercayai menimpa mangsa semasa dia bermain seorang diri di bahagian belakang rumah jenis townhouse tersebut.
Semasa kejadian, ibu, abang dan kakak mangsa dikatakan sedang berada di dalam rumah sebelum disedari oleh salah seorang daripada mereka yang melihat mangsa sedang tersepit dan telah kaku.
Ibu mangsa, Riana Fitriasih Kusnan, 38, berkata, anak lelaki sulungnya berusia 10 tahun telah menjerit sambil memaklumkan anak bongsu daripada tiga beradik itu didapati tidak sedarkan diri.
“Kami empat beranak menyewa di sini sejak dua bulan lalu dan suami telah meninggal dunia.
“Walaupun bekerja sebagai tukang cuci rumah sambilan, saya tidak pernah tinggalkan dia sendiri kerana takut sesuatu menimpa disebabkan tindakannya yang suka mencuba sesuatu yang bahaya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. – TVS