PUTRAJAYA, 2 Jan: Peratusan calon yang hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negara pada hari ini mencecah 97 peratus.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata seramai 402,956 calon hadir mengambil peperiksaan di 3,370 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.
Jelas beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang dalam proses mengemas kini jumlah keseluruhan kehadiran memandangkan kira-kira 10,000 pelajar masih belum mengesahkan kehadiran mereka.
“Kita harap kehadiran ini dapat dipertingkat,” katanya pada sidang media khas Pengoperasian Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, beliau memaklumkan seramai 44,968 petugas termasuk pengawas peperiksaan dalam kalangan sukarelawan terlibat sepanjang SPM berlangsung tahun ini.
Beliau berkata pengambilan sukarelawan sebagai petugas adalah inisiatif yang diperkenal oleh KPM pada tahun lepas dan diteruskan tahun ini.
“Ini adalah antara inisiatif untuk meringankan beban guru di samping memberikan peluang petugas-petugas sukarelawan untuk terlibat sama dalam peperiksaan SPM,” katanya. -TVS.