KUCHING, 1 Jan: Tebingan Kuching bergema dengan sorakan ribuan pengunjung yang tetap bersemangat meraikan sambutan ambang tahun baharu 2025 meskipun hujan lebat mencurahi lokasi pada Selasa malam.
Suasana penuh meriah itu mencerminkan semangat warga Sarawak yang tidak gentar dengan cabaran cuaca demi menyambut detik bersejarah bersama keluarga dan rakan-rakan.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, hadir untuk menyempurnakan majlis.
Turut sama meraikan sambutan, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, bersama barisan pemimpin kerajaan negeri.
Majlis yang bermula seawal jam 8 malam itu menampilkan persembahan bertenaga daripada artis-artis terkenal tempatan dan negara yang memeriahkan lagi suasana malam tersebut.

Puncak acara menyusul apabila kiraan detik terakhir menuju tahun baharu diiringi persembahan bunga api yang menerangi langit Tebingan Kuching, memukau pengunjung yang hadir.
Hujan lebat seolah-olah tidak memadamkan semangat mereka, malah menambahkan keunikan sambutan tahun ini.
Sambutan ambang tahun baharu di Tebingan Kuching sekali lagi membuktikan keunikan dan daya tarikannya, menjadi bukti semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Sarawak dalam menyambut detik bersejarah bersama-sama. -TVS