KUCHING, 31 Dis: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendoakan agar tahun 2025 membawa rahmat dan keberkatan kepada semua.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau menitipkan doa sempena Sambutan Tahun Baharu 2025, mengharapkan kesihatan, ketenangan hidup, keampunan dosa serta kekuatan keimanan buat seluruh rakyat.
“Semoga kita semua dirahmati Allah di dalam kehidupan, dianugerahkan kesihatan tubuh badan, diberikan ketenangan hidup, diampunkan segala dosa kesalahan, diperkukuhkan keimanan dan diberi ganjaran dengan Syurga Firdaus,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tun Wan Junaidi menyeru rakyat Sarawak agar terus bersatu hati, memupuk perpaduan dan melangkah ke tahun baharu dengan semangat yang lebih kuat demi kesejahteraan bersama.
Turut serta menyampaikan ucapan sambutan tahun baharu ialah isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Tun Wan Junaidi serta isteri dijadual menghadiri Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 di Tebingan Kuching malam ini.
Majlis tersebut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan menarik termasuk daripada artis tempatan dan antarabangsa seperti Hetty Koes Endang, Zee Avi serta Akim & The Majistret.
Turut membuat persembahan pada malam ini ialah pemenang pingat emas dan gangsa World Championships of Performing Arts (WCOPA) di Amerika Syarikat, Aleysha dan Ryan Zachary Shareef Van Der Horst. – TVS