KUCHING, 31 Dis: Ketika melangkah ke tahun baharu 2025, semangat optimis dan kesatuan rakyat terus menjadi pemacu utama dalam usaha membina masa depan yang lebih cerah dan gemilang bagi Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi menyatakan rasa bangga dan syukur atas pencapaian yang telah diraih sepanjang tahun 2024, meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran.
“Tahun baharu ini bukan sekadar peralihan masa, tetapi peluang berharga untuk kita mencorakkan masa depan Sarawak dengan lebih berani dan terang. Kita ingin berdiri lebih tinggi, lebih kukuh dan lebih berazam daripada sebelumnya,” ujarnya menerusi hantaran di media sosialnya.
Menurutnya, sepanjang tahun 2024, rakyat Sarawak telah menunjukkan ketabahan dan semangat juang yang luar biasa.
Melalui perpaduan dan keazaman, Sarawak bukan sahaja berjaya mengatasi rintangan tetapi juga mencipta peluang baharu yang membuktikan tiada halangan yang terlalu besar untuk dihadapi.
Hari ini, Sarawak dilihat bukan hanya sebagai sebuah negeri, tetapi sebagai kuasa yang memacu kemajuan dan perubahan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di pentas dunia.
Di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Sarawak komited untuk membina masa depan yang inklusif yakni tiada rakyatnya yang tercicir dan setiap individu berpeluang untuk maju.
“Tahun 2025 adalah tahun transformasi. Sarawak akan muncul sebagai lambang kemajuan, memanfaatkan sepenuhnya sumber semula jadi, tenaga belia dan kepelbagaian budaya untuk mencipta masa depan yang makmur bagi setiap rakyatnya,” jelasnya.
Pesanan khas turut disampaikan kepada golongan belia sebagai nadi masa depan Sarawak.
“Anda adalah denyut nadi masa depan Sarawak. Kepada semua komuniti, sama ada di bandar atau luar bandar, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memastikan suara anda didengar, keperluan anda dipenuhi dan aspirasi anda direalisasikan,” tegasnya.
Tahun ini, Sarawak bertekad untuk terus maju dengan komitmen teguh ke arah pembangunan mampan dan kemakmuran bersama, di mana setiap rakyat dapat hidup dengan sejahtera.
“Bukan hanya infrastruktur yang akan kita bina, tetapi sebuah legasi yang akan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Dengan semangat perpaduan yang diperbaharui, Sarawak melangkah ke tahun baharu ini bukan sekadar untuk meraikan, tetapi untuk bertindak, maju, dan mencapai kejayaan bersama.
“Kita adalah Sarawak. Kita berdaya tahan. Kita terus mengorak langkah ke hadapan. Semoga tahun baharu ini dipenuhi dengan harapan, kekuatan dan pencapaian luar biasa untuk semua rakyat Sarawak,” katanya.