KUCHING, 31 Dis: Seorang lelaki tempatan berusia 50-an yang bekerja sebagai pengurus ladang di Sibu menjadi mangsa kes penipuan pelaburan tidak wujud dengan kerugian RM240,000.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu selepas menyedari dirinya telah ditipu.
“Mangsa memaklumkan bahawa pada awal November 2024, semasa berada di rumah, beliau telah berkenalan dengan seorang individu yang tidak dikenali melalui Facebook.
“Suspek kemudian menawarkan peluang pelaburan yang menjanjikan keuntungan segera melalui aplikasi dikenali sebagai CW(M)-LNC,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata mangsa tertarik dengan tawaran itu yang seterusnya berurusan dengan suspek menerusi WhatsApp.
Mangsa telah membuat beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan suspek, dengan jumlah keseluruhan lebih kurang RM240,000.
Bagaimanapun, mangsa mula menyedari dirinya telah ditipu apabila suspek gagal dihubungi setelah transaksi wang dilakukan.
“PDRM menasihati agar jangan terlalu mudah percaya dengan pelaburan-pelaburan yang ditawarkan di laman sosial dan membuat penelitian terlebih dahulu sebelum membuat pelaburan,” katanya.