SIBU, 31 Dis: Polis menafikan dakwaan bahawa video kejadian tembakan di kedai makan yang tular sejak semalam berlaku di Sibu.
Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata paparan video itu berlaku di luar negara.
“Video yang memaparkan kejadian tembakan di sebuah kedai makan bersama dakwaan ia berlaku di pusat bandar Sibu adalah tidak benar.
“Setelah siasatan, kami mendapati kejadian sebenar berlaku di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Zulkipli turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita atau video palsu yang boleh mencetuskan kegelisahan awam.
Beliau menegaskan, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab.
“Pihak polis memandang serius isu ini dan akan bertindak di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap mereka yang menyalahgunakan aplikasi media sosial.
“Pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, penjara hingga setahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya. – TVS