Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembinaan Bangunan Perubatan & Komersial Yayasan Buah Pinggang CHKMUS, di Kuching. Foto Nadim Bokhari (TVS)

Sarawak tidak terdesak kejar sektor perlombongan REE

KUCHING, 30 Dis: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyatakan bahawa kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada pengurusan sumber semula jadi yang mesra alam, meskipun Sarawak kaya dengan unsur nadir bumi (REE).

Beliau menegaskan, walaupun perlombongan REE dianggap sebagai satu peluang untuk merancakkan ekonomi negeri dengan hasil baharu, namun Sarawak tidak dalam keadaan terdesak untuk mengejar sektor ini.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak akan memastikan bahawa pembangunan sumber semula jadi dijalankan secara lestari, tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar.

“Kita ada REE, tetapi yang besar sekali adalah di utara Malaysia iaitu Kedah, Terengganu dan Perlis. Di Sarawak memang kita ada perlombongan lain, kita buat yang lain dulu.

Bagi saya, perlombongan ini mesti di buat kajian kerana ia akan menjejaskan persekitaran, kenapa perlu memilih industri tersebut kalau kita ada industri yang bersih. Bagi saya ini adalah pilihan. Kita tidak terdesak, pendapatan kita banyak. Jadi kita simpan dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembinaan Bangunan Perubatan & Komersial Yayasan Buah Pinggang CHKMUS, di sini, hari ini.

Berdasarkan rekod Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), 10 negeri yang dikenal pasti berpotensi miliki REE iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Selangor dan Sarawak dengan jangkaan nilaian sebanyak RM809.6 bilion.

Daripada jumlah itu, Terengganu merekodkan kawasan berpotensi paling luas iaitu 575,000 hektar, Kelantan 205,000 hektar, Perak 135,000 hektar, Pahang 100,000 hektar, Kedah 90,000 hektar, Johor 45,000 hektar dan Melaka 10,000 hektar.

Pada 1 Jun lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pelan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Ketika ini SOP itu sudah siap dan kementerian sedang menyiapkan pelan yang meliputi pembangunan NR-REE dari peringkat perlombongan sehingga peringkat hiliran. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan