KUCHING, 30 Dis: Persembahan legenda rock tanah air, Wings, memukau ribuan peminat pada malam terakhir Festival Rock In The Jungle (RITJ) 2024 yang berlangsung di Kampung Budaya Sarawak (SCV).
Dalam suasana penuh kemeriahan, Awie, meluahkan harapan agar festival ini diteruskan pada masa akan datang.
“Kita doakan Rock in The Jungle ini akan berterusan setiap tahun. Rock in The Jungle kita anjurkan di sini (Kampung Budaya Sarawak). Tahun hadapan, kita jumpa lagi di sini,” katanya kepada peminat di pentas RITJ.
Malam itu, Wings membuka persembahan mereka dengan penuh tenaga melalui lagu Puisi Merdeka, Sekeping Kertas Bermaruah dan Jerangkung Dalam Almari.
Tidak ketinggalan, lagu-lagu hit seperti Dalam Kehadiran Sofea, Lipas Kudung, Peronda, dan Sejati turut dipersembahkan, menghidupkan lagi suasana malam.
Kemunculan ini menandakan penampilan pertama Wings di Sarawak sejak dua tahun lalu, menjadikan persembahan mereka lebih bermakna buat peminat di Bumi Kenyalang.
Kehadiran Wings di malam kedua RITJ 2024 menjadi antara kemuncak festival muzik rock yang berlangsung selama dua hari, dari 28 hingga 29 Disember. – TVS