BELAGA, 30 Dis: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang ketika mencari durian di Sungai Benatu Punan Bah, di sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sarawak berkata Micheal Sait Lanyau, 60, dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari perahunya dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi.
Pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 1.10 petang sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi berkenaan.
“Mangsa dipercayai terjatuh dari perahu yang dinaikinya sebelum hilang dibawa arus. Difahamkan, ketika itu mangsa sedang keluar mencari buah durian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejadian sempat disaksikan penduduk kampung yang melihat mangsa terjatuh ke dalam sungai.
Bagaimanapun, mereka tidak sempat menyelamatkan lelaki berkenaan kerana hanya melihat insiden itu dari jauh.
“Usaha mencari mangsa sedang dilakukan oleh orang kampung. Laporan polis juga telah dibuat untuk tindakan selanjutnya.
“Kita mengambil masa kira-kira tiga jam untuk sampai di lokasi,” katanya. – TVS