SIBU, 30 Dis: Lapan unit berek Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion Ke-10, Jalan Upper Lanang, di sini, musnah dalam kebakaran malam tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Andy Alie, berkata tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.
“Kebakaran melibatkan sebuah berek satu blok 10 pintu (unit) jenis struktur tidak kekal telah terbakar 100 peratus dari pintu nombor tiga sehingga pintu nombor 10
“Pintu nombor satu dan nombor dua berjaya diselamat. Jumlah keseluruhan adalah 21 penghuni dari tujuh pintu manakala tiga pintu tidak berpenghuni,” katanya dalam kenyataan.
Bomba menerima panggilan kecemasan pada 7:05 malam dan tiba di lokasi lima minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 8:15 malam dan operasi tamat pada 9:42 malam.
Kerja-kerja memadam api membabitkan 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dan BBP Sungai Merah.
Agensi lain yang turut terlibat memberi bantuan termasuk polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran,” katanya.