SIBU, 30 Dis: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sarawak akan menerima sokongan kewangan daripada kerajaan Sarawak mulai tahun hadapan bagi mengimbangi kekangan kewangan yang dihadapi PBT di wilayah ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata langkah ini adalah usaha penting untuk memastikan PBT dapat meningkatkan perkhidmatan awam tanpa membebankan rakyat dengan kenaikan kadar bayaran.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kabinet telah bersetuju untuk memberikan pampasan kepada PBT bagi menampung kehilangan hasil mereka. Ini setelah menyedari bahawa banyak PBT di Sarawak menghadapi masalah kewangan.
“Sokongan kewangan ini akan membantu meningkatkan perkhidmatan awam dan itu sangat penting. Jika tidak, PBT mungkin terpaksa menaikkan kadar bayaran,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Majlis Perbandaran Sibu di sini, malam tadi.
Menurut Dr Sim, kebanyakan PBT di Sarawak bergelut dengan kekangan kewangan kerana kadar taksiran tidak pernah dikemas kini sejak tahun 1960-an, walaupun gaji dan kos sara hidup telah meningkat.
“Negeri-negeri seperti Perak dan Selangor telah mengemas kini kadar taksiran mereka, malah ada yang meningkat hingga 25 peratus. Namun, PBT di Sarawak kekal, menjadikannya sukar untuk memenuhi jangkaan rakyat terhadap perkhidmatan awam yang lebih baik,” jelasnya lagi.
Dr Sim turut memuji dedikasi dan ketabahan kakitangan MPS yang terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik walaupun berdepan dengan cabaran kewangan.
“Tanpa usaha gigih mereka, banyak perkhidmatan yang kita nikmati hari ini tidak mungkin dapat disediakan,” katanya. – TVS