KUCHING, 30 Dis: Pasukan Katalot Eagles menjuarai pertandingan sepak takraw sempena Karnival Sukan Saberkas (KASUS) 2024 dengan membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta piala dan dan pingat.
Pejabat Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pertandingan anjuran Saberkas Cawangan Demak Laut itu turut menobatkan UKSH B sebagai naib juara yang membolehkan mereka membawa balik wang tunai RM1,000 berserta piala dan pingat.
Tempat ketiga dimenangi pasukan Foochow B dan tempat keempat dari pasukan Foochow D, masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM700 untuk tempat ketiga dan RM500 untuk tempat keempat.
Pertandingan akhir di Dewan Kpg Bako Hijrah pada Ahad di sini menyaksikan lapan pasukan berentap merebut kejuaraan selepas melepasi saringan yang disertai 16 pasukan dari kalangan belia dari kawasan Demak Laut.
Pusingan awal untuk pasukan A dan BÂ bermula pada 15 Disember 2024 di lokasi Padang Sepak Takraw Kpg Bako Hijrah seterusnya pusingan pasukan C dan D diadakan di Dewan Kampung Pinggan Jaya pada 22 Disember 2024.
Perasmian penutupan KASUS disempurnakan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abg Hipni merangkap ADUN Demak Laut dan Pengerusi SABERKAS Cawangan Demak Laut.
KASUS 2024 merupakan aktiviti tahunan Saberkas Cawangan bagi menggalakkan terutamanya belia untuk terlibat aktiviti sihat serta dapat mengeratkan persahabatan sambil bertanding secara sihat.