PUNCAK ALAM, 30 Dis: Penduduk Taman Seri Alam, Saujana Utama mendedahkan kejadian benteng takungan air pecah yang berlaku petang semalam bukanlah kali pertama dialami mereka.
Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Seri Alam, Ahmad Sofian Omar berkata, kejadian sama pernah berlaku pada 2015 namun impaknya tidak seteruk kejadian terbaharu ini.
“(Sebenarnya) bukan sekali atau dua (kami telah) berunding dengan pihak-pihak berwajib terutamanya pemaju (berhubung kejadian ini).
“Hari ini kami mahukan kata putus kerana keseluruhan penduduk meminta takungan air ini terus ditutup dan segala ganti rugi (kami) akan dikemukakan,” katanya ketika ditemui TVS, hari ini.
Tambahnya, penduduk selama ini terpaksa hidup dalam keadaan berjaga-jaga kerana risau kolam takungan air itu akan pecah.
Sementara itu, Sofian berkata penduduk terpaksa menanggung kerugian besar kerana hampir keseluruhan barangan kelengkapan rumah mengalami kerosakan.
“Rumah saya ditenggelami air sehingga tiga kaki, oleh itu perabot dan perkakas elektrik rosak sepenuhnya dengan anggaran kerugian mencecah RM15,000,” katanya.
Sehubungan itu, Sofian berharap pemaju terlibat mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan penuh penduduk kawasan sekitar.
Semalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 5.15 petang.