LAWAS, 30 Dis: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah Lawas diseru untuk bersedia dan memanfaatkan sepenuhnya pelbagai projek pembangunan yang sedang dilaksanakan dengan menjalankan peranan sebagai ejen transformasi luar bandar.
Setiausaha Majlis Daerah Lawas, Zulkifli Sahari berkata pelbagai projek pembangunan mega bernilai berbilion ringgit sedang dilaksanakan di utara Sarawak yang dijangka mengubah landskap pembangunan di kawasan bandar dan luar bandar.
“Banyak ledakan pembangunan di daerah Lawas yang dibawa kerajaan Sarawak.
“Apabila ada projek besar, JKKK perlu memastikan masyarakat setempat mendapat manfaat daripada pembangunan tersebut untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Keluarga Kampung Pemukat Kuala Lawas di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan pentingnya JKKK melibatkan diri dalam agenda pembangunan untuk memastikan pelaksanaan projek di kawasan masing-masing berjalan lancar, di samping meningkatkan ekonomi penduduk.
Zulkifli menambah, kerajaan Sarawak kini giat melaksanakan pelbagai projek utama, antaranya Rangkaian Jalan Raya Sarawak-Sabah (SSLR), Lebuh Raya Pesisir Utara, Pelabuhan Laut Dalam Pulau Sari, Lapangan Terbang Baharu Lawas serta projek ekonomi seperti Anjung Usahawan.
“Semua projek ini amat penting bagi penduduk di utara Sarawak, termasuk di daerah Limbang dan Lawas untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka dan memperkukuh ekonomi penduduk,” katanya.