HANGZHOU, 30 Dis: Seramai 39 anggota kumpulan jenayah utama yang berpangkalan di utara Myanmar didakwa di China pada Isnin atas kesalahan penipuan telekomunikasi dan jenayah lain yang menyasarkan orang awam di China, lapor Xinhua.
Antara tertuduh ialah Mg Myin Shaunt Phyin dan Ma Thiri Maung, yang menghadapi tuduhan penipuan, pembunuhan yang disengajakan, kecederaan yang disengajakan, penahanan secara haram, pengendalian kasino, penyeludupan dadah dan menganjurkan pelacuran.
Kes itu difailkan di sebuah mahkamah tempatan di Wenzhou, sebuah bandar pesisir di Wilayah Zhejiang, timur China.
Menurut pendakwa raya di Wenzhou, 16 daripada defendan kes jenayah rentas negara itu adalah warga Myanmar.
Selain itu, beberapa ribu suspek lain yang berkait dengan kumpulan jenayah itu sedang disiasat oleh pihak pendakwaan di Wenzhou dan lokasi lain di seluruh China.
Lebih daripada 10,000 kes penipuan telekomunikasi yang disahkan berkaitan dengan suspek berkenaan telah dilaporkan, melibatkan kerugian bernilai berbilion yuan, dengan beberapa warganegara China kehilangan nyawa.
Pendakwa China menegaskan bahawa kes itu mencerminkan komitmen negara untuk melindungi hak dan kepentingan sah rakyatnya.
“Sebahagian daripada jenayah ini berlaku di dalam sempadan China, secara khusus menyasarkan warganegara China dan menjejaskan kepentingan bersama masyarakat antarabangsa, justeru memberikan China bidang kuasa mengikut Undang-Undang Jenayahnya dan perjanjian antarabangsa,” kata pendakwa raya yang mengendalikan kes itu.
Melalui mekanisme penguatkuasaan undang-undang yang diselaraskan, polis China dan Myanmar menjalankan siasatan di lokasi, mengumpul bukti, menemu bual individu berkaitan serta menangkap dan memindahkan suspek jenayah.
Pendakwa raya China menyatakan bahawa mereka telah meningkatkan pemantauan undang-undang untuk memastikan pematuhan Undang-undang Prosedur Jenayah China dan peraturan berkaitan semasa pengumpulan bukti dari luar negara, sekali gus menegakkan kesahihannya.
Pendakwa raya juga menegaskan komitmen mereka untuk melindungi hak undang-undang defendan warga Myanmar dengan memaklumkan hak-hak mereka semasa prosiding undang-undang, memudahkan pelantikan peguam bela dan menawarkan bantuan guaman. Jurubahasa turut disediakan, manakala perlindungan konsular dijamin. -TVS