KUCHING, 29 Dis: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) mengalukan penganjuran konsert atau acara hiburan berskala besar di negeri ini sebagai usaha memacu sektor pelancongan.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah optimis bahawa acara muzik seperti konsert rock mampu menjadi daya tarikan utama, khususnya kepada peminat dari Indonesia, Brunei, dan Semenanjung Malaysia.
“Lebih-lebih lagi tahun depan kita ada pesawat (syarikat penerbangan) kita sendiri,” ujarnya dengan penuh yakin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media usai Festival Rock In The Jungle (RITJ) hari pertama di Kampung Budaya Sarawak di Santubong pada Sabtu.
Menurutnya langkah ini dipercayai akan memudahkan perjalanan pelancong asing untuk menghadiri acara-acara di Sarawak sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan.
Beliau juga menekankan kepentingan hubungan komunikasi yang semakin baik antara negara jiran, yang akan membuka lebih banyak peluang untuk kerjasama dan peningkatan jumlah pelawat ke Sarawak.
“Dengan komunikasi yang berhubungan yang agak baik sekarang ini, mudah untuk mereka daripada Indonesia, dari Brunei, dari Semenanjung Malaysia untuk datang,” tambahnya.
Malah ia secara tidak langsung bertindak sebagai visi untuk menjadikan Sarawak sebagai hab pelancongan serantau yang dinamik melalui gabungan muzik, seni, dan infrastruktur moden. – TVS