SUNGAI PETANI, 29 Dis: Kelindan sebuah lori yang membawa muatan barangan rumah terkorban manakala dua lagi rakannya cedera selepas kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 77.6, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Mohamad Zulfiqry Zunaidi Abdullah, 20, maut di tempat kejadian selepas mengalami pelbagai kecederaan parah pada badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku apabila lori dipandu lelaki berusia 33 tahun tersebut telah hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan.
Menurutnya, lori yang datang dari arah Pendang menghala ke Sungai Petani itu kemudian melanggar tiang papan tanda yang berada di kiri jalan.
“Kejadian itu menyebabkan kelindan yang berasal dari Senggarang, Johor yang berada di tempat duduk penumpang sebelah kiri meninggal dunia di temat kejadian.
“Pemandunya yang berasal dari Serian, Sarawak dan seorang lagi kelindan berusia 24 tahun dari Keningau, Sabah yang hanya cedera pada kepala dan kaki berjaya keluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang cedera kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pendang bagi rawatan lanjut manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk dibedah siasat.
Katanya, polis sedang mengesan saksi bebas berhubung insiden itu bagi menjalankan siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS