MUKAH, 29 Dis: Timbalan Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib menghulurkan sumbangan kepada Haliza @ Evelin Rajuwin yang merupakan mangsa kebakaran rumah di Kampung Sri Petanak di sini, hari ini.
Pusat Khidmat P213 Mukah dalam kenyataan berkata, sumbangan adalah dalam bentuk wang ringgit dan beberapa keperluan asas dan makanan.
Sumbangan disampaikan Nur Syuhaida dan beberapa kakitangan Pusat Khidmat P213 Mukah dan Sukarelawan P213 Mukah.
Hadir sama Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Pejabat Daerah Mukah,
Tracy Penggang dan Penghulu Kampung Petanak, Edmund Ennu Sebli.
Hanifah berharap semua ahli keluarga mangsa tabah dalam menghadapi ujian yang menimpa ini.
“Kita berharap agar sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa, ” katanya.
Beliau juga menyeru mana-mana pihak tampil untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada keluarga terbabit.
Dalam kejadian pada malam Jumaat, sebuah rumah di Kampung Seri Petanak, Jalan Petanak di Mukah musnah dalam kebakaran.-TVS