KUCHING, 28 Dis: Pengumuman berkenaan penyelesaian keputusan berhubung isu pengagihan gas melibatkan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dengan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) kini bergantung kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, perkara itu tidak sepatutnya dibangkitkan oleh Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen kerana selama ini Kerajaan Sarawak amat lantang dalam menegakkan hak Sarawak.
“Saya menggesa Chong untuk turut menyatakan pendiriannya mengenai perkara itu dan bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam mendesak penyelesaian daripada Putrajaya.
“Saya rasa ini kali pertama saya mendengar Chong bercakap mengenai isu pengagihan gas kerana selama ini beliau berdiam diri sedangkan kami, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Kerajaan Sarawak, lantang dan tidak henti-henti memperjuangkan hak Sarawak,” katanya.
Fazzrudin berkata, Chieng Jen harus menggunakan hubungan dengan pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) pusat jika ikhlas mahu menyelesaikan isu berkaitan pertikaian pengagihan gas untuk Sarawak.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak yang sebelum ini menggesa Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mendedahkan perkembangan terkini mengenai pertikaian antara Sarawak dan petronas berkenaan hak sumber minyak dan gas di dalam dan sekitar negeri.
Ketua pembangkang itu berkata, rakyat Sarawak berhak mengetahui butiran penyelesaian yang dicapai sebelum sebarang perjanjian dimeterai bagi memastikan kepentingan generasi akan datang tidak terjejas.
Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong turut mejelaskan Kerajaan Sarawak tidak menyembunyikan orang ramai mengenai pertikaian pengagihan gas bahkan amat lantang dalam menegaskan hak Sarawak.
“Pendirian kami ialah menyerahkan pengumuman kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai formula resolusi sebagai satu penghormatan.
“Bagaimanapun, sehingga kini kita masih belum mendengar sebarang pengumuman oleh Perdana Menteri untuk menamatkan isu ini. Keputusan ini kini terpulang kepada Perdana Menteri,” ujarnya.
Fazzrudin berkata, kedudukan Sarawak jelas kerana kuasa ke atas pengedaran gas terletak pada Kerajaan Sarawak dan PETROS diiktiraf sebagai pengagregat gas tunggal. – TVS