KUCHING, 28 Dis: Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata bersama isteri Datin Jennita William yang juga Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak mengadakan lawatan kebajikan semalam.
Polis Sarawak dalam kenyataannya berkata, lawatan kebajikan diadakan kepada Joslin Jais di Jalan Parit Lama, Kuching, yang merupakan balu kepada Allahyarham Sarjan Nasrul Hadi Abd Wahap yang meninggal dunia pada 17 Disember lalu.
“Lawatan ini diadakan bagi menyantuni ahli keluarga dan sebagai penghargaan warga PDRM Kontinjen Sarawak atas perkhidmatan Allahyarham sepanjang beliau bertugas dalam pasukan,” kata kenyataan itu.
Turut disampaikan sumbangan daripada Tabung Kebajikan, Sukan dan Sosial PDRM Sarawak dan Tabung PERKEP Kontinjen Sarawak kepada waris Allahyarham.
Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ibrahim Darus serta isteri Datin Zanilatun Kamariah Zakaria yang juga Naib Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak. – TVS