LIMBANG, 28 Dis: Sarawak mempunyai dasar jelas membangunkan wilayah ini dengan menunjukkan peningkatan ekonomi membanggakan dan terus berupaya menarik kemasukan pelabur luar untuk datang ke negara ini.
Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Batu Danau Henry Madai berkata, pelbagai inisiatif pembangunan dilaksana kerajaan Sarawak berteraskan kaedah baharu bagi meningkatkan kesejahteraan rakyatnya termasuk di Daerah Limbang.
Menurutnya, Limbang turut mendapat manfaat dengan dasar pembangunan menyeluruh yang dilaksanakan sejajar dengan potensi Limbang sebagai pintu masuk utama kemasukan pengunjung luar khususnya dari negara Brunei.
“Premier seorang pemimpin yang mempunyai pandangan jauh, beliau telah mengadakan rombongan ke negara-negara seluruh dunia untuk memperkenalkan Sarawak bagi menarik pelabur.
“Ini satu cara meningkatkan ekonomi Sarawak, apabila ramai pelabur datang ia memberi manfaat termasuk di Limbang yang merupakan satu lubuk emas kerana diapit Negara Brunei Darusalam dan menjadi satu tarikan untuk pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media ketika mengadakan kunjungan Rumah Terbuka Krismas Ahli PDP Batu Danau Jeludin Kimbing di Perumahan Batu Biah hari ini.
Turut sama ialah Exco Pemuda Pusat Parti Demokratik Progresif (PDP) Kaunselor Daniel Taha.
Henry berkata, kestabilan politik dan keharmonian kaum di Sarawak menjadi kunci kepada negeri ini untuk mencapai kejayaan yang lebih besar dalam pelbagai aspek termasuk pembangunan ekonomi, sosial dan budaya.
Katanya, PDP Batu Danau mahu masyarakat luar bandar untuk memberi sokongan dan kerjasama padu dalam menjayakan segala dasar pembangunan dan ekonomi baharu yang dilakukan Sarawak dalam merealisasikan Sarawak menjadi wilayah maju 2030.
Menurutnya, PDP turut mengatur pelbagai program untuk mendekati penduduk luar bandar selain mensasar lebih ramai golongan belia di kawasan Batu Danau untuk menyertai parti itu. -TVS