KUCHING, 28 Dis: Gabungan penghargaan terhadap kepelbagaian muzik rock dan tanggungjawab menjaga alam sekitar memperlihatkan bagaimana industri ini berkembang dengan pendekatan yang lebih holistik.
Itu antara perkara yang ditekankan lagenda rock negara, Dato Ramli Sarip ketika mengulas mengenai perkembangan muzik rock tanah air.
Mengambil contoh penganjuran Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF), pelantun lagu Kamelia itu berkata acara itu telah memberikan kesan mendalam terhadap usaha dan sokongan integrasi seni dan kesedaran ekologi.
“Penekanan pada peranan pemuzik bukan hanya dalam muzik tetapi juga untuk melestarikan alam dan menyedarkan generasi akan datang tentang kepentingan menjaga alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ‘meet & greet’ artis Konsert Rock In The Jungle (RITJ) 2024 di Kampung Budaya Sarawak di sini pada Jumaat.
Ramli yang terkenal dengan jolokan, Papa Rock berkata keterbukaan perkembangan genre itu dilihat semakin luas.
“Muzik rock bukan hanya genre tertentu tetapi mempunyai pelbagai warna dan kepelbagaian genre yang mencerminkan keunikan budaya seperti Malaysia dan Indonesia.
“Kenyataan tentang perkembangan muzik rock melalui keterbukaan dan penerimaan yang semakin luas. Muzik rock disebut sebagai genre yang memerlukan tenaga, semangat, dan jiwa yang kuat,” jelasnya.
Ramli bersama anggota kumpulan Sweet Charity menjadi antara kumpulan yang ditampilkan dalam RITJ.
Sweet Charity akan membuat persembahan pada malam ini. – TVS