JAKARTA, 28 Dis: Kerajaan Indonesia menghantar 50.5 tan bantuan kemanusiaan kepada Republik Vanuatu yang dilanda gempa bumi berukuran 7.3 magnitud pada Selasa minggu lalu.
Indonesia bukan sahaja menghantar peralatan dan logistik tetapi juga kakitangan dan pasukan perubatan yang akan membantu mengukuhkan perkhidmatan pengurusan bencana di sana.
Pelepasan bantuan kemanusiaan itu diketuai oleh Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan (Menko PMK) Pratikno di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di sini yang menurutnya penyampaian bantuan kemanusiaan itu adalah arahan langsung daripada Presiden Prabowo Subianto untuk membantu kerajaan Vanuatu.
“Vanuatu negara rakan kita, bencana ini menjadi kebimbangan kita dan sebab itu bantuan ini dihantar segera bersama pasukan perubatan untuk menjalankan tugas sebaik mungkin membantu mangsa gempa bumi di sana,” katanya.
Beliau berharap bantuan daripada kerajaan dan rakyat Indonesia dapat membantu meringankan beban mangsa gempa bumi di Vanuatu.
Bantuan kemanusiaan yang disediakan terdiri daripada 21 jenis peralatan logistik dan keperluan asas serta 6.8 tan ubat-ubatan.
Bukan itu sahaja, seramai 15 kakitangan sebagai Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) terdiri daripada doktor pakar, jururawat dan ahli farmasi akan menjalankan kerja kemanusiaan selama 30 hari di Vanuatu.
Terdahulu gempa bumi kuat berpusat 31 kilometer dari ibu negara Port Villa, Vanuatu meragut 14 nyawa dan menjejaskan sekurang-kurangnya 8,000 orang, memusnahkan banyak bangunan serta mencetuskan tanah runtuh di beberapa bahagian negara pulau itu.-TVS