TAIPING, 27 Dis: Polis menahan wanita yang bertindak membakar sebuah motosikal di Jalan Masjid Pokok Assam di sini pada Khamis.
Suspek berusia 40-an itu diberkas kira-kira 7.30 malam selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki berhubung kejadian itu pada 4.27 petang.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Nasir Ismail berkata, berdasarkan laporan dan video yang tular di media sosial pihaknya mendapati wanita itu bertindak menyimbah cecair disyaki petrol ke atas sebuah motosikal jenis Honda RSX sebelum membakarnya.
“Berdasarkan siasatan awal, motif kejadian berpunca apabila wanita itu tidak berpuas hati dengan tindakan penarik motosikal yang mahu menarik kenderaan tersebut yang tertunggak bayaran ansuran selama 20 bulan.
“Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan denda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, berdasarkan video tular tersebut, ia memaparkan seorang wanita bertindak mencurahkan cecair jernih dari sebuah tong berwarna putih ke atas sebuah motosikal.
Dia kemudian bertindak mencucuh api ke atas kenderaan berwarna hitam tersebut sehingga api marak. – TVS