SIBU, 26 Dis: Polis sedang memburu suspek kes tembak yang berlaku di hadapan sebuah rumah di Jalan Lada di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, mengesahkan bahawa insiden sekitar 1.54 pagi itu membabitkan empat das tembakan telah dilepaskan menggunakan senjata api, namun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
“Siasatan awal mendapati tembakan dilepaskan dengan menyasarkan kediaman dan kereta mangsa. Kejadian ini tidak melibatkan sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Menurut beliau, suspek dipercayai lebih daripada seorang, dan menaiki sebuah kereta Toyota Vios berwarna hitam.
Pihak polis juga kini sedang giat menjalankan operasi untuk mengesan mereka yang terlibat dalam kejadian tersebut.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan melepaskan tembakan dan khianat merosakkan harta. Motif sebenar kejadian ini masih dalam siasatan,” tambahnya.
Zulkipli turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, sila hubungi balai polis terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kes, Insp Muhammad Abu Bakar Roshidi di talian 012-8774241,” katanya. -TVS