Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pesilat Abdul Latif Maxzakir merakam gambar kenangan ketika disambut semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Khamis. Foto: TVS

Pencak Silat Dunia: Abdul Latif, pesilat Kuching dinobat juara dunia di Abu Dhabi

KUCHING, 27 Dis: Pesilat kelahiran Kuching, Abdul Latif Maxzakir memenangi pingat emas sekali gus bergelar Juara Dunia di Kejohanan Pencak Silat Dunia Ke-20 2024 di Abu Dhabi, baru-baru ini.

Kejayaan Abdul Latif itu turut melakar sejarah dan menamatkan penantian dua dekad Sarawak dan Rumpun Silat Sarawak (RSS) apabila menjadi anak jati Bumi Kenyalang keempat menjulang gelaran itu.

Abdul Latif mengucapkan terima kasih dan syukur atas segala sokongan dan doa para penyokong hingga dirinya membuahkan kejayaan terbabit.

Menurutnya, sasaran selepas ini adalah untuk meraih kejuaraan lain dengan keutamaan kepada kejohanan Sukan Asia Tenggara atau Sukan Sea di Thailand pada tahun 2025 termasuk pertandingan terbuka antarabangsa yang lain.

“Selepas ini kami ada kejohanan sukan Sea di Thailand, mungkin ada juga terbuka Belgium dan lain-lain yang belum dipasti lagi.

“Insha-Allah target Sukan Sea adalah emas untuk kategori yang belum pasti juga sebab kategori untuk kejohanan ini masa sekarang untuk kelas H tiada dan kemungkinan jurulatih bagi tahu ia akan naik ataupun turun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Khamis.

Terdahulu, Abdul Latif memenangi pingat emas selepas menumpaskan lawannya dari Vietnam, Nguyen Duy Tuyen dalam kategori Tanding Putra Kelas H Senior di pertandingan berprestij berkenaan.

Sementara itu, Arnidawati Kassim iaitu wasit juri yang turut sama mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia setelah menerima anugerah Wasit Juri Wanita Terbaik Dunia pada kejohanan dunia tersebut juga menzahirkan rasa syukur dengan kejayaan yang diraihnya.

Ujarnya, anugerah yang diterima menunjukkan bahawa Teknikal Persatuan Rumpun Silat Sarawak berprestasi cemerlang selain membuktikan negeri Sarawak tidak ketandusan wasit dan juri yang berkaliber dalam sukan silat.

“Saya ucapkan syukur ke atas Allah kerana peluang diberikan untuk mewakili Pesaka Malaysia bertugas sebagai wasit juri di peringkat kejohanan dunia adalah satu peluang yang dapat saya gunakan untuk menunjukkan bahawa teknikal Rumpun Silat Sarawak mempunyai prestasi yang cemerlang dan dengan anugerah Best Female Referee and Jury ini membuktikan bahawa Negeri Sarawak tidak ketandusan wasit dan juri yang berkaliber,” jelasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan