MOSCOW, 27 Dis: Rusia mengisytiharkan darurat berikutan tumpahan minyak di Laut Hitam akibat kemalangan kapal tangki, lapor agensi berita Jerman dpa.
Langkah ini membolehkan lebih banyak sumber kerajaan, teknologi dan dana digunakan untuk menangani kejadian tumpahan minyak itu, kata Menteri Situasi Kecemasan, Alexander Kurenkov pada Khamis.
Pada 15 Dis, dua kapal tangki bertembung akibat cuaca buruk di Selat Kerch yang terletak di antara tanah besar Rusia dan Semenanjung Crimea.
Satu daripada kapal tangki terbabit terbelah dua, menyebabkan kira-kira 3,000 tan minyak mengalir ke laut, menurut pihak berkuasa Rusia.
Kurenkov berkata, sebanyak 30,000 tan pasir tercemar minyak dikumpul di kawasan pantai di wilayah Krasnodar, lapor agensi berita Tass.
Pantai sepanjang 220 kilometer sedang dipantau, dengan penglibatan 10,000 anggota pasukan kecemasan.
Pantai di resort Anapa yang terkenal dengan pasir halusnya turut terjejas, manakala tompokan minyak turut dikesan di pantai selatan wilayah Semenanjung Crimea. – TVS