KUCHING, 27 Dis: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya terlibat kemalangan kendiri di Jalan Tawi Sli di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa yang datang dari arah Bulatan Batu 3 menuju ke arah Jalan Datuk Bandar Mustapha di sini.
“Akibat kemalangan itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita menyeru agar mana – mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Amirul Azami Ahmad Rasol di talian 016-8593994 / 082-259900 atau mana – mana balai polis yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berhati – hati semasa memandu bagi memastikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain agar selamat sampai ke destinasi. -TVS