LIMBANG,27 Dis: Sambutan Hari Krismas di Kampung Bukid Gudang, Medamit di sini turut dimeriahkan dengan kehadiran ahli keluarga yang berlainan agama dan budaya, termasuk dari Brunei Darussalam.
Suasana unik itu dirasai Enesto Felexty Ekit, berbangsa Bisaya, 32, yang tidak pernah ketinggalan pulang ke kampung halaman di Limbang meskipun sudah menetap di Kuantan, Pahang kerana bertugas sebagai anggota polis sejak tujuh tahun lepas.
Menurutnya sambutan Krismas di kampung halamanan amat unik, meriah dan istimewa kerana ramai ahli keluarga bukan saja berbangsa Bisaya, malah Melayu Cina, Iban, Bidayuh dan sebagainya hadir berhimpun setiap tahun.
“Bagi saya Krismas di Limbang amat unik kerana dirai keluarga saya terdiri pelbagai kaum dan agama.
“Walaupun saya bekerja selama tujuh tahun di Kuantan Pahang sebagai anggota polis, saya tidak melepas peluang pulang ke kampung halaman berkumpul bersama keluarga, ini saat amat bermakna,” katanya ketika ditemui media pada sambutan rumah terbuka ayahnya Penghulu Ekit Awang di Kampung Bukid Gudang Medamit hari ini.
Tambahnya sambutan Krismas juga dirai penuh tradisi dengan menonjolkan budaya Bisaya dari segi pakaian, makanan dan bahasa menjadikan sambutan Krismas begitu istimewa di kampung halamannya.
Turut senada seorang anggota bomba yang bertugas di Miri, Wong Tat Wong 30, yang berasa teruja kerana dapat pulang ke kampung halaman isterinya yang berbangsa Bisaya di Limbang untuk meraikan Krismas.
Jelasnya sambutan Krismas di Limbang amat meriah sekali dengan kehadiran ahli keluarga dan rakan-rakan berlainan agama dan budaya yang mempunyai hubungan kekeluargan begitu erat dan harmoni.
“ Kemeriahan sambutan Krismas di Limbang amat terasa kerana dirai pelbagai kaum dan agama, ini merupakan pengalaman pertama saya,” katanya.
Seorang penduduk Brunei Awang Wahab Bakar, 72 tahun dari Kampung Rimba Gadong sanggup memandu lebih satu jam untuk menghadiri undangan rumah terbuka ahli keluarganya Penghulu Ekit berbangsa Bisaya di Limbang.
Katanya setiap tahun beliau bersama ahli keluarga besar di Brunei akan turun ke Limbang untuk meraikan sambutan Krismas sekali gus mengukuhkan hubungan keluarga meskipun berlainan negara. -TVS.