KUALA LUMPUR, 27 Dis: Kementerian Komunikasi meminta perkhidmatan media sosial dan pesanan internet supaya menghormati undang-undang Malaysia dengan mematuhi segala peraturan ditetapkan bagi membolehkan mereka beroperasi di negara ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kedua-dua platform itu digesa memohon Lesen Kelas Penyedia Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia selewat-lewatnya 1 Januari tahun depan.
Beliau berkata setakat ini Tencent (WeChat) dan Telegram merupakan platform yang mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Saya harap platform-platform lain juga ikut langkah mereka sekiranya berhasrat untuk memberi perkhidmatan di Malaysia dengan pada masa yang sama mereka mendapat keuntungan apabila warga Malaysia melanggan iklan untuk mempromosikan produk-produk mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat pelawak veteran, Sathia Periasamy, atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Sathiya di sini, hari ini.
Pada Khamis, SKMM mengesahkan Telegram dan Tencent (WeChat) telah memulakan proses pelesenan untuk beroperasi di Malaysia.
Keperluan pelesenan itu yang berkuat kuasa 1 Januari bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, perlindungan pengguna dan pengawasan kawal selia untuk pemesejan dan penyedia perkhidmatan media sosial. – TVS