KUALA LUMPUR, 27 Dis: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau akan meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memberikan penjelasan terhadap pengumuman kenaikan tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia yang diumumkan, baru-baru ini.
Anwar berkata beliau telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga menteri bertanggungjawab untuk mendapatkan penjelasan daripada syarikat tersebut.
Jelas beliau, kenaikan yang dilaksana tidak seharusnya menjejaskan kedudukan majoriti rakyat.
“Saya ingat ini dari segi dasar, saya faham keperluan menaikkan (tarif elektrik) tapi kenaikan tidak boleh melibatkan kedudukan, kos kepada majoriti rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita setelah menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hana Kuah di Langkawi, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata kenaikan tarif elektrik yang ditetapkan sebelum ini hanya melibatkan golongan ‘maha kaya’ dan industri yang mencatat keuntungan.
Terdahulu, media melaporkan TNB telah memaklumkan kepada bursa pada Khamis untuk menaikkan tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh), bersama dengan jadual tarif baharu bermula Julai depan.
Perubahan itu akan berkuat kuasa bermula Januari 2025 hingga Disember 2027 di bawah Tempoh Peraturan 2 (RP4) selama tiga tahun. – TVS