LAHAD DATU, 27 Dis: Seramai 180 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu, pada Jumaat.
Pemindahan itu dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menggunakan feri MV Ming Hai Express ke Pelabuhan Bongao, Filipina.
Menurut Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof, program tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan JIM Sabah untuk memastikan PATI dihantar pulang dengan tertib dan teratur bagi mengelakkan tahanan berada di depot imigresen terlalu lama.
“Tahanan yang dihantar pulang terdiri daripada 79 lelaki dewasa, 38 wanita dewasa, 29 kanak-kanak lelaki, dan 34 kanak-kanak perempuan berusia antara 1 hingga 80 tahun. Kanak-kanak yang terlibat dipulangkan bersama ibu bapa atau penjaga sah mereka.
“Semua tahanan menanggung sendiri kos pemindahan, dengan kadar tiket feri RM375 bagi dewasa, RM210 untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 13 tahun, dan percuma bagi kanak-kanak bawah 4 tahun,” kata beliau.
Menurut SH Sitti, PATI yang dipindahkan dipercayai melanggar Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, termasuk tinggal lebih masa dan masuk tanpa dokumen sah.
Kesemua tahanan telah menjalani hukuman penjara sebelum dipindahkan ke negara asal.
Sehingga kini, seramai 6,185 PATI warganegara Filipina telah dihantar pulang melalui laut pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan pemindahan warganegara asing oleh JIM Sabah sebanyak 8,842 orang. Beliau turut menegaskan tindakan tegas akan dikenakan terhadap majikan dan pemilik premis yang menggaji PATI tanpa dokumen sah.
“Kami menggesa semua majikan dan masyarakat untuk memastikan pengambilan pekerja asing dilakukan mengikut saluran yang sah. JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan untuk membanteras PATI di negeri ini,” tambah beliau. -TVS