JOHOR BAHRU, 26 Dis: Petroliam Nasional Bhd (Petronas), melalui cabang impak sosialnya Yayasan Petronas, telah menceriakan sambutan Krismas bagi 500 keluarga kurang bernasib baik di selatan tanah air menerusi inisiatif “Uplifting Lives Festive” (ULF).
Pengurus Besar Wilayah Selatan Petronas Mohd Zaki Mahat berkata inisiatif dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu melibatkan sumbangan barangan keperluan dan makanan kepada 200 keluarga di Johor, Negeri Sembilan (150) dan Melaka (150) bermula 13 Dis lepas.
“Setiap sumbangan pek perayaan itu mengandungi pelbagai jenis barangan makanan asas selain makanan istimewa sempena Krismas seperti biskut keluaran usahawan Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR). MEKAR adalah inisiatif oleh Yayasan Petronas bertujuan memperkasakan komuniti tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sumbangan itu diharapkan dapat meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik agar dapat menyambut perayaan itu dengan gembira dan bermakna.
Sementara itu, Sebestian Murukaiyah, 54, seorang daripada penerima dari Melaka berkata sumbangan tersebut memberi semangat untuk dia dan keluarga menyambut Krismas.
“Saya dan isteri kehilangan sumber pendapatan berikutan masalah kesihatan yang dihadapi, jadi kami sudah lama tidak meraikan Krismas. Terima kasih kepada Petronas atas sumbangan pek perayaan ini. Kami akan menggunakan sumbangan ini untuk menyediakan makanan istimewa sempena Krismas,” kata bapa kepada tiga anak itu.
May Glory Lopez, 70, dari Seremban, Negeri Sembilan yang menghidap poliomielitis sejak kecil, turut berterima kasih atas sumbangan yang bermakna itu.
“Saya sangat bersyukur menerima sumbangan ini. Anak lelaki saya berulang-alik setiap hari ke Kuala Lumpur dan bekerja tanpa mengenal penat untuk membantu saya serta suami, jadi sumbangan ini amat bermakna bagi kami,” katanya.
Milah Lasip, 55, seorang pekerja pembersihan di sebuah gereja di Batu Pahat, Johor dan mempunyai anak lelaki menghidap sakit jantung kronik juga berterima kasih atas sumbangan tersebut.
Tahun ini, Yayasan Petronas telah menyumbang keseluruhan 11,850 pek perayaan di seluruh negara dengan 2,050 pek diagihkan kepada keluarga di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. -TVS