BANDA ACEH, 26 Dis: Siren dibunyikan ketika mangsa yang terselamat dan saudara-mara mangsa di Indonesia memulakan upacara memperingati lebih daripada 220,000 orang terkorban akibat tsunami yang melanda negara-negara di sekitar Lautan Hindi 20 tahun lalu.
Di Banda Aceh, Indonesia, satu majlis rasmi di Masjid Raya Baiturrahman memulakan siri peringatan di seluruh Asia dengan siren selama tiga minit pada waktu yang sama gempa bumi besar terjadi yang disusuli gelombang besar pada 26 Disember 2004.
Gempa bumi 9.1 magnitud di hujung barat Indonesia itu menyebabkan beberapa siri gelombang besar yang melanda pantai lebih daripada sedozen negara dari Indonesia hingga Somalia.
Majlis peringatan di tepi pantai dan upacara keagamaan akan diadakan di negara-negara yang paling teruk terjejas bagi memperingati ulang tahun tragedi itu.
Indonesia mencatatkan jumlah korban jiwa tertinggi dengan lebih daripada 160,000 orang terkorban di sepanjang pantai baratnya, manakala ribuan lagi terkorban di Sri Lanka, India dan Thailand.
Di Sri Lanka, yang mengorbankan lebih daripada 35,000 orang, mangsa terselamat dan saudara-mara dijangka berkumpul untuk memperingati sekitar 1,000 mangsa yang meninggal dunia apabila gelombang tsunami menyebabkan sebuah kereta api penumpang tergelincir.
Di Thailand, yang mengorbankan separuh daripada lebih 5,000 orang adalah pelancong asing, upacara peringatan tidak rasmi dijangka diadakan beriringan dengan majlis peringatan rasmi oleh kerajaan.
Hampir 300 orang terkorban sejauh Somalia, lebih 100 orang di Maldives, serta puluhan mangsa di Malaysia dan Myanmar, menurut EM-DAT, sebuah pangkalan data bencana global yang diiktiraf.